Pendaftaran pelajar pasca siswazah Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences (AHSGS) bagi kemasukan Semester Kedua Sesi 2017/2018 berlangsung, di Foyer Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC), pagi tadi.
Dekan AHSGS, Prof Dr. Abdull Sukor Shaari mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kedatangan pelajar yang berjaya mendaftar bagi mengikuti program di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah kedoktoran.
Ulasnya, untuk kemasukan Sesi Kedua (A172), sebanyak 316 surat tawaran telah dikeluarkan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa bagi sesi pengajian yang bermula pada 7 Februari.
“Proses pendaftaran berjalan lancar bermula seawal jam 9.00 pagi sehingga 11.30 pagi dan mereka kelihatan sungguh bersemangat.
“Saya berharap para pelajar dapat melengkapkan pengajian dalam tempoh yang telah ditetapkan dan bergraduat dengan jayanya di samping menggunakan kesempatan belajar di UUM dengan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, Pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi, Nur Syahirah, 30 berkata, peluang mengikuti pengajian di UUM ini amat bernilai kerana ilmu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti diri di samping membangunkan kerjaya.
“Sebenarnya sudah lama saya nak sambung belajar untuk menambah ilmu dan kemahiran apatah lagi kerja yang digalas perlu ada satu value added dalam meningkatkan mutu kerja,” ujarnya yang mengikuti pengajian separuh masa.
Untuk berjaya beliau bersedia mengharungi segala cabaran yang menuntut banyak pengorbanan yang perlu dilakukan dari segi masa, tenaga dan wang walaupun terikat dengan pelbagai komitmen.