Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences

KEUNIKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI AHSGS – TAMPIL KELAINAN DUNIA

 ahsgs raya

UUM ONLINE: Sambutan Aidilfitri lebih bermakna apabila Awang Had Salleh Graduate School of Arts & Sciences (AHSGS) meraikannya bersama-sama pelajar pasca siswazah yang datang dari serata pelusuk dunia yang tidak dapat pulang berhari-raya di kampung halaman.

Menurut Dekan AHSGS, Prof. Dr. Abdull Sukor Shaari, majlis ini memberi peluang kepada pihaknya beramah mesra dan mengenali para pelajar dengan lebih dekat terutamanya dari aspek budaya masyarakat.

“AHSGS memberi sedikit kelainan meraikan Aidilfitri bersama-sama agar mereka dapat merasai pengalaman berhari raya di Malaysia dengan budaya antarabanga yang pelbagai sekali gus merapatkan silaturahim antara staf dan pelajar.

“Menariknya, juadah istimewa yang dimakan pada hari raya di negara masing-masing dihidangkan oleh pelajar pasca-siswazah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya menampilkan keunikan dan menarik perhatian tetamu untuk merasainya,” ucapnya pada AHSGS Aildilfitri Intercultural Mini-Festival 2018.

Jelasnya, Ramadan telah mendidik kita untuk mengabdikan diri kepada Allah termasuk melakukan perkara terpuji yang mencerminkan nilai-nilai Islam seperti mencintai rakan-rakan dan golongan miskin.

Justeru, kutipan derma turut dilancarkan sempena program ini bertujuan untuk menyalurkan kutipan sumbangan tersebut bagi projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang akan dikendalikan oleh pihak AHSGS serta pelajar pasca siswazah AHSGS.

Budaya Charity Cutlery Set telah diperkenalkan dalam majlis berkenaan, dianggap sebagai permulaan projek CSR AHSGS. Setiap tetamu mendapat satu set kutleri usai menderma kepada tabung untuk golongan yang kurang berkemampuan. 

“Itulah sebabnya AHSGS menganjurkan sesi potluck raya antara budaya serta kutipan derma, agar kita semua dapat duduk bersama sebagai satu keluarga besar dan melakukan sesuatu yang baik jadi saya mengucapkan terima kasih atas perbezaan yang telah anda lakukan,” luahnya.

Sementara itu, pelajar antarabangsa dari Iraq, Dunya Jafar Musa menyifatkan majlis ini sebagai tanda keprihatinan pihak AHSGS mengubati kerinduan pelajar antarabangsa yang jauh di perantauan dan yang tidak dapat pulang berhari-raya di kampung halaman. 

“Festival ini sungguh unik, bukan seperti rumah terbuka yang biasa diadakan kerana memperkenalkan gaya hidup masyarakat tradisional negara masing-masing melalui makanan, nyanyian dan pakaian tradisi.

“Semua tetamu bukan sahaja dapat menikmati pelbagai juadah citarasa yang dihidangkan di setiap booth, tetapi pada masa yang sama akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan antarabangsa,” kongsinya.

Antara penyertaan adalah dari beberapa buah negara seperti India, Somalia, Iraq, Jordan, Nigeria, Pakistan, Algeria serta Malaysia dan telah mempromosikan budaya negara masing-masing melalui makanan tradisional  di booth yang disediakan.

“Saya amat menghargai usaha pihak AHSGS menyediakan platform ini untuk mendekatkan lagi kami dengan juadah tradisi serta sambutan hari raya di Malaysia seperti Lemang, Ketupat, Rendang, Wajik dan Lontong.

“Saya juga teruja dapat makan buah-buahan tempatan yang sangat sedap seperti rambutan dan manggis yang sangat manis, berjus dan harum,” luahnya.

Di samping itu, pengunjung turut diberi peluang menyertai pertandingan dan cabutan bertuah bagi mempromosikan budaya antarabangsa dalam majlis yang dianggarkan  seramai 200 orang.



Footer UUM Dec2018

 

CONTACT US

Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences (AHSGS)

Universiti Utara Malaysia
06010 UUM Sintok
Kedah Darul Aman MALAYSIA

Tel : +604-928 5299
Email: ahsgsservices@uum.edu.my

OFFICE HOURS

Sunday-Wednesday: 8.00 am to 5.00 pm
Thursday: 8.00 am to 3.30 pm
Lunch Time: 1.00 pm to 2.00 pm
Weekend (Friday & Saturday): Closed

SOCIAL MEDIA